Dari Meja Bendahari

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera serta selamat datang saya ucapkan kepada para pelayar laman web rasmi Jabatan Bendahari UPSI. Laman web ini merupakan salah satu medium komunikasi di antara Jabatan Bendahari dan para pelanggan semua.

Tujuan laman web ini diwujudkan adalah sebagai medium rujukan pelanggan mengenai perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh Jabatan Bendahari UPSI. Ini adalah sejajar dengan visi Jabatan Bendahari untuk menjadi peneraju pengurusan kewangan Universiti yang bitara serta memberi perkhidmatan kewangan dan perakaunan terunggul dalam merealisasikan visi dan misi Universiti.

Jabatan Bendahari menyediakan perkhidmatan kewangan untuk pelanggan yang terdiri daripada kakitangan, pelajar dan pembekal. Kami beriltizam untuk menjadi sebuah jabatan yang bitara dan cemerlang dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan Universiti secara berterusan dan berkualiti untuk memenuhi kepuasan pelanggan.

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi terkini, kakitangan Jabatan Bendahari turut mempunyai kompetensi yang tinggi dalam melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan pembangunan ICT. Sebagai bukti, laman web ini dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman kakitangan Jabatan Bendahari. Untuk makluman, Jabatan Bendahari telah beberapa kali menjadi Johan Pertandingan Laman Web UPSI iaitu pada tahun 2002, 2003 dan 2007.

Jabatan Bendahari turut memperkenalkan banyak inovasi dengan melaksanakan pengurusan kewangan secara online melalui Sistem Kewangan MyFIS meliputi keseluruhan proses kewangan. Hasilnya, Jabatan Bendahari telah dinobatkan dengan pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari pelbagai pihak. Jabatan Bendahari telah berjaya memenangi Anugerah Inovasi Sektor Awam 2014 Bagi Kategori Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan bagi inovasi Sistem Kewangan MyFIS. Ini merupakan pengiktirafan yang paling bermakna diterima oleh Jabatan Bendahari UPSI. Terkini Sistem Kewangan MyFIS telah dinaiktaraf menggunakan platform perisian sumber terbuka PHP (hypertext preprocessor) dan telah mula digunapakai mulai 16 Januari 2020. Banyak penambahbaikan dan inovasi baru yang diperkenalkan dalam sistem kewangan baru yang dikenali sebagai MyFis Neo ini.

Jabatan Bendahari akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan dan memperkenalkan lebih banyak inovasi untuk memudahkan urusan mereka. Pihak kami amat mengharapkan maklumbalas berguna daripada para pelanggan berhubung perkhidmatan yang diberikan. Tuan/puan boleh memberi maklumbalas berkenaan mutu perkhidmatan kami secara online pada menu Aduan/Cadangan di laman web ini. Input yang diberikan akan diambil kira untuk menambahbaik perkhidmatan kami.

Akhir kata, Jabatan Bendahari akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan. Saya berharap warga Jabatan Bendahari dapat memberikan komitmen yang berterusan bagi memastikan Jabatan Bendahari akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang dalam meningkatkan tahap kualiti pengurusan kewangan bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

Sekian.

“UPSI No.1 Pendidikan”

“BERINTEGRITI AMALAN KITA”

HJ. MOHAMAD NAJIB BIN HJ. MOHAMED C.A.(M), ASEAN CPA
Bendahari UPSI