Penghantaran Borang Tuntutan Elaun Kerja Lebih Masa (EKLM) Untuk Dibayar Bersama Gaji Bulan Februari 2021

Assalamu’alaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.            Untuk makluman pihak tuan/puan, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari 2021, jabatan ini bersetuju untuk memberikan kelonggaran bagi penghantaran Borang Tuntutan Elaun Kerja Lebih Masa (EKLM) dimana Pemohon, Pegawai Pengesah dan Pegawai Pelulus dikecualikan daripada menurunkan tanda tangan pada borang berkenaan.

3.            Walau bagaimanapun, pemohon perlu memastikan tuntutan EKLM masing-masing telah disah dan diluluskan terlebih dahulu oleh pegawai yang berkenaan di MyUPSI Portal sebelum borang tersebut dicetak dan dihantar ke pusat pengumpulan yang telah ditetapkan iaitu di luar Pejabat Bendahari 4 (Unit Gaji, Cuti Belajar & Ticketing, Aras 1 Bangunan Canselori) atau Pos Pengawal Pintu Timur. Sila masukkan borang tuntutan masing-masing ke dalam kotak OVERTIME yang telah disediakan.

4.            Untuk tujuan ini juga, jabatan ini menggalakkan supaya pihak Pusat Tanggungjawab (PTj) melantik seorang wakil bagi mencetak dan menghantar borang berkenaan. Borang tuntutan hendaklah di hantar ke tempat yang dikhaskan tersebut selewat-lewatnya pada 2 FEBRUARI 2021 (SELASA) bagi membolehkan ia dibayar bersama-sama bayaran gaji bulan Februari 2021.

5.            Adalah diingatkan bahawa pengecualian ini hanya diberikan sepanjang tempoh PKP ini sahaja. Penghantaran yang dibuat selepas tempoh yang dinyatakan di atas hendaklah diurus seperti biasa dimana pemohon perlu memastikan permohonan disahkan, diluluskan, dicetak, ditanda tangani dan disertakan bersama dokumen sokongan yang berkaitan sebelum dihantar ke Jabatan Bendahari.

Kerjasama daripada pihak tuan/puan berhubung perkara ini amatlah dihargai dan diucapkan ribuan terima kasih.    

Sekian.    

“UPSI NO. 1 PENDIDIKAN”


Yang benar,

Unit Gaji, Cuti Belajar & Ticketing
Jabatan Bendahari
Universiti Pendidikan Sultan Idris
35900 Tanjong Malim
Perak Darul Ridzuan
Tel.: 05-4506326/5546/6672/6952
Fax: 05-4596211