BERITA & AKTIVITI

Berita & Aktiviti

JABATAN BENDAHARI

Jabatan Bendahari, UPSI Terus Memperkasa Pengurusan Kewangan Digital

SBU dan UPSI Holdings Meriahkan Hari Pendaftaran Pelajar Baharu UPSI Sesi 2026/2027

Pendaftaran Pelajar 2026_4

Oleh : Puan Siti Syazana Binti Zainal Abidin

TANJONG MALIM, 14 September 2026 – Strategic Business Unit (SBU) dan UPSI Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) turut mengambil bahagian dalam memeriahkan Hari Pendaftaran Pelajar Sarjana Muda Ambilan 1, Sesi 2026/2027 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung pada 12 hingga 14 September 2026 bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Hari pendaftaran tersebut menyaksikan seramai 4,455 orang pelajar baharu mendaftar untuk mengikuti pengajian di UPSI bagi sesi akademik 2026/2027. Jumlah tersebut melibatkan pelajar daripada pelbagai fakulti dan program pengajian yang ditawarkan oleh universiti.

Antara jumlah pendaftaran mengikut fakulti adalah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) seramai 1,003 orang, diikuti Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) seramai 436 orang, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) seramai 733 orang, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) seramai 510 orang serta Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) seramai 478 orang.

Turut merekodkan pendaftaran ialah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) seramai 328 orang, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) seramai 235 orang, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) seramai 244 orang, Fakulti Teknologi dan Vokasional (FTV) seramai 183 orang, I-Furqan seramai 170 orang, serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) seramai 135 orang.

Sepanjang program berlangsung, booth pameran dan jualan SBU & UHSB dibuka bagi memperkenalkan dan mempromosikan pelbagai produk serta perkhidmatan kepada warga universiti, khususnya pelajar baharu dan para pengunjung.

Penyertaan tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh usaha pemasaran dan penjanaan pendapatan universiti, di samping memberi pendedahan kepada pelajar baharu mengenai pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh entiti serta unit berkaitan di UPSI.

Antara SBU yang terlibat dalam pengoperasian booth pameran dan jualan ialah:

  • UPSI Holdings Sdn. Bhd.
  • ARTrADE, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif
  • FTV Inc, Fakulti Teknologi dan Vokasional
  • WEZAS

Pengurusan booth pameran dan jualan sepanjang program telah diselaraskan oleh Unit Penjanaan, Risiko & Sistem, Jabatan Bendahari UPSI.

Penyertaan SBU dan UHSB dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Bendahari dalam menyokong usaha universiti memperkukuh aktiviti penjanaan pendapatan serta memperluas jaringan promosi dan perkhidmatan kepada warga UPSI.

Jabatan Bendahari UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat serta para pengunjung yang telah memberikan sokongan dan memeriahkan Hari Pendaftaran Pelajar Baharu UPSI 2026.

Selamat Datang Pelajar Baharu UPSI!

Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada 4,455 orang pelajar baharu UPSI Sesi 2026/2027! Semoga kehadiran anda di Universiti Pendidikan Sultan Idris menjadi permulaan kepada perjalanan ilmu yang penuh bermakna, pengalaman yang berharga serta kejayaan yang membanggakan.