Kadar caruman berkanun KWSP diturunkan kepada 9 peratus

Sumber Gambar Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memaklumkan bahawa kadar caruman berkanun syer pekerja akan dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus bagi tahun 2021.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata, kadar caruman berkanun baharu itu akan terpakai untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun yang wajib mencarum.
“Kadar baharu ini akan berkuat kuasa bagi tempoh satu tahun dan merangkumi upah pekerja bulan Januari 2021 (caruman Februari 2021) sehingga bulan Disember 2021 (caruman Januari 2022).

“Ahli masih boleh memilih untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2021), yang boleh dimuat turun daripada laman web KWSP (www.kwsp.gov.my) mulai 1 Disember 2020.

‘’Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk didaftarkan secara dalam talian melalui kemudahan i-Akaun (Majikan) mulai 14 Disember 2020. Borang yang diterima daripada pekerja hendaklah disimpan sebagai rekod majikan,” kata KWSP.
Untuk maklumat lanjut, ahli boleh merujuk laman sesawang KWSP atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000. – Bernama

Artikel Penuh : Sinar Harian
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf